Tuduhan minah rempit, 'sundal' dan perampas membuatkan nama pelakon tinggi lampai, Wafariena Roslan, 26, menggelegak seperti gunung berapi yang meletus.
Seperti watak Nurul Huda sebagai perampas dalam drama 7 Hari Mencintaimu 2, begitulah juga dunia realiti, Wafariena dituduh sebagai 'orang ketiga' menjadi punca perpisahan hero gandingannya dalam drama Baby Tak Gila, Syazuwan Hassan dengan bekas kekasih bernama Adora.
Gara-gara 'skandal' terlarang, hubungan cinta Syazuwan dan Adora selama 11 tahun berkecai di tengah jalan. Terlalu kecewa dan terasa bagai ditipu hidup-hidup, Adora bertindak membuat pendedahan menerusi laman Facebook dan Twitter, malah secara terangan memetik nama Wafariena sebagai punca hubungan terlerai.
Lebih menyakitkan, Adora mendakwa, hubungan cinta Syazuwan dan Wafariena sudah dapat dihidu sejak awal, namun hanya dapat dipastikan selepas lima bulan berpisah.
Enggan melatah biarpun digelar dengan pelbagai gelaran kurang enak, Wafariena sebaliknya berterima kasih kepada Adora kerana membantu menghangatkan semula namanya.
Tidak goyah dengan pendedahan Adora, Wafariena berkata, dia berada dalam landasan betul, jadi tiada apa yang perlu ditakutkan.
Malah, katanya, tidak sedikit pun hatinya risau imej dan nama baik yang dibina tercalar kerana segala tuduhan dilemparkan bekas kekasih Syazuwan itu tidak berasas sama sekali.
"Saya hanya mampu tertawa tatkala membaca pendedahannya dalam laman sosial. Apa yang membuatkan saya keliru, wanita itu menyatakan Syazuwan adalah bekas kekasihnya. Ini bermakna hubungan mereka sudah berakhir, jadi kenapa perlu melatah?
"Mungkin ketika membuat pendedahan, wanita itu sedang dirundung masalah. Jadi, dia cuba mencari seseorang untuk melampiaskan kemarahannya.
"Jujurnya, antara saya dan Syazuwan, tiada hubungan istimewa, sebaliknya kami rapat sebagai rakan dalam industri," katanya kepada BH Online.
Ujar gadis yang fasih berbahasa Mandarin itu, mungkin Adora tidak berada dalam industri menyebabkannya tidak faham keakraban hero dan heroin drama yang semata-mata mahu menghidupkan watak.
"Saya bukan hanya rapat dengan Syazuwan, ramai juga pelakon lain yang saya baik. Bukan Syazuwan sahaja pernah menjadi kekasih saya dalam drama, tetapi ramai lagi pelakon lain. Salah seorangnya, Azhan Rani sehingga penonton menyangka kami benar-benar bercinta.
"Saya bangga penonton menyangka saya dan Azhan bercinta kerana ia bermakna lakonan kami menjadi. Jadi, rasanya Adora tidak perlu melatah kerana keakraban saya dan bekas kekasihnya itu hanya untuk menghidupkan lakonan sahaja," katanya.
Ditanya adakah menghubungi Syazuwan untuk berbincang mengenai pendedahan dibuat bekas kekasihnya itu, Wafariena berkata, ia tidak perlu memandangkan mereka tiada sebarang hubungan.
"Seperti dikatakan, saya dan Syazuwan tidak mempunyai apa-apa hubungan. Saya tidak bersalah, jadi untuk apa saya menghubunginya? Selepas penggambaran drama Baby Tak Gila selesai, kami tidak pernah berhubung.
"Bagaimanapun, saya berterima kasih kepada Adora menaikkan semula watak Nurul Ain yang kian dilupakan. Adora ada menyatakan saya sesuai membawakan watak perampas kerana sikap saya seperti Nurul Ain.
"Biarlah, dia boleh menuduh apa sahaja. Saya sudah terbiasa dilemparkan dengan perkataan kesat gara-gara Nurul Ain. Sehingga hari ini, saya masih menerima banyak mesej peminat yang begitu membencikan Nurul Ain. Jadi, saya sudah lali menerimanya," kata pelakon yang pernah dicalonkan dalam kategori Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33.
Sumber Berita Harian


Comments
Post a Comment